KLFW is NOW ONLINE | Astro Awani
KL Fashion Week 2020 Tayang Secara Online Mulai Esok Hingga 13 November
BY AMRI HASSAN
10 NOVEMBER 2020. 8:40 PM
Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2020 akan dijayakan sepenuhnya secara digital bermula esok sehingga 13 November menerusi platform dalam talian.
Acara gah yang biasa diadakan setiap tahun di pentas fesyen, tahun ini tidak terkecuali untuk beralih ke platform digital dan dikenali sebagai KLFW Digital 2020.
Menurut Pengasasnya Andrew Tan, pada mulanya pihaknya buntu bagaimana untuk meneruskan acara berprestij itu dalam suasana yang tidak mengizinkan perhimpuinan ramai akibat COVID-19, tetapi mengambil contoh apa yang dilakukan di luar negara barulah idea untuk KLFW secara digital direalisasikan.
"Peralihan secara digital ini adalah kerana pandemik COVID-19, kalau kita lihat Paris, Milan dan New York juga menganjurkan versi digital iaitu norma baharu untuk industri.
"Dengan membawakan konsep digital ini, kami akan membawa penonton mengikut setiap perjalanan secara eksklusif dari pereka, jurumekap, pendandan rambut, teknologi penjagaan muka dan penjagaan rekaan," katanya.
Tahun ini seramai 60 pereka tempatan mengambil bahagian dengan kebanyakan klip video dan penggambaran rekaan busana mereka telah dirakam di sekitar lokasi ikonik ibu negara.
Salah seorang yang menyertai KLFW tahun ini adalah pereka fesyen Hatta Dolmat yang menyifatkan persembahan fesyen secara dalam talian sangat berbeza dan memerlukan persiapan lebih awal.
“Saya perlu bekerja lebih dengan membuat banyak episod dan persiapannya kena buat lebih awal. Saya juga menampilkan koleksi fesyen lestari maka ia memerlukan pendedahan awal dan perlu diuar-uarkan kepada ramai dengan usaha berkenaan,” jelas Hatta.
Hatta juga menyeru peminat fesyen di luar sana untuk menonton acara KLFW tahun ini secara dalam talian dalam menyokong pemain-pemain industri fesyen untuk terus berada dalam industri lebih-lebih lagi dalam era pandemik ketika ini.
KLFW 2020 akan diadakan secara berepisod dan anda boleh layari www.instagram.com/klfashionweek untuk maklumat lanjut.
Thank you ASTRO AWANI (READ MORE)