Yonnyboii Kena Serangan Panik | ohbulan.com
Akibat Terlampau Gementar, Yonnyboii Kena Serangan Panik Selepas ‘Catwalk’ Di KLFW – ‘Memang Banyak Perkara Bermain Dalam Fikiran’
Penyanyi rap Yonnyboii mendedahkan dia telah diserang panik sejurus tamat pertunjukan fesyen jenama Neonate di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2021 pada petang Ahad.
Terlampau gementar
Ketika dihubungi, Yonny, 23, mengakui dia akan mengalami gejala yang sama setiap kali sebelum dia membuat persembahan di atas pentas. Namun katanya, situasi pada hari kejadian berbeza apabila pengurusnya tidak dapat menemani.
Bagaimanapun, kata pemilik nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, selepas selesai fashion show dia dibawa keluar dan ditenangkan oleh tunangnya, Nik Nazirah.
Alhamdulillah, sekarang sudah okey, saya overwhelmed sangat dengan orang ramai dan terlampau gementar.
Biasanya saya akan mengalami gejala sama setiap kali sebelum membuat persembahan nyanyian di pentas, tapi biasanya ada Nad (pengurus) di belakang pentas. Tapi semalam saya seorang diri.
Saya minta maaf kepada rakan media, tak bermaksud nak tinggalkan acara.
Banyak benda dalam fikiran
Bercerita lebih lanjut, pelantun lagu Sakit menyatakan serangan panik terjadi disebabkan dia terlampau insecure dengan diri sendiri memandangkan ini adalah kali pertama dia menjadi model memperagakan busana.
Ujarnya lagi, dia berasa takut dengan tanggapan orang lain selain risau dia ada melakukan kesilapan ketika di pentas runway.
Saya tak tahu macam mana nak handle situasi ini kalau dia tak ada. Selepas saya bertenang, dia bawa saya makan sekejap dan hantar saya balik.
Sebenarnya situasi panik itu berlaku kerana saya takut apa yang saya buat semalam salah, saya takut orang menilai saya dan risau terbuat silap besar.
Saya jadi sesak nafas dan gementar sangat, lagi pula itu pertama kali saya berjalan di pentas runway. Jadi insecure dengan diri sendiri sebab nampak orang lain lagi profesional dari saya. Memang banyak perkara bermain dalam fikiran saya.
Pada Ahad lalu, Yonny diberikan peluang untuk berjalan di pentas fesyen bagi memperagakan busana Neonate milik pengacara popular Karl Shafek.
Neonate menampilkan koleksi bertemakan zaman kelam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 sejak dua tahun lalu dan isu kesihatan mental.
Diberi nama Noir yang bermaksud hitam (dalam bahasa Perancis), koleksi itu juga dikategorikan sebagai parut yang mendefinisikan pengalaman lampau.