Tak sangka Namron sudi ‘catwalk’ untuk saya – Karl Syafek | atusan.com.my

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY 11 November 2021, 9:45 am

 

KUALA LUMPUR : Pengacara dan pelakon yang kini menceburi bidang rekaan fesyen, Karl Syafek, 41, tidak menyangka pelawaannya agar Namron memperagakan koleksi terbaru Neonate Clothing telah disambut dengan baik oleh aktor terkenal tanah air tersebut.

Menurut Karl, dia cuma mencuba nasib ketika menghubungi pelakon tersebut namun mengaku menyimpan angan-angan agar Namron bersetuju untuk menyarung busana rekaannya dan berjalan di pentas peragaan sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) yang berlangsung minggu lalu.

“Ada satu malam itu, saya menghantar pesanan ringkas menerusi telefon dan bertanyakan kesudiannya. Dia tak jawab.

“Tetapi keesokannya, dia membalas mesej namun kurang faham dengan permintaan saya. Jadi, saya hubunginya dan berterus-terang. Dia cakap, ‘awak ini biar betul?’. Iyalah, dia tak pernah langsung berjalan di pentas peragaan sebelum ini.

“Namun, akhirnya Namron memberikan jawapan yang saya nantikan. Dia sudi kerana mahu mencuba sesuatu yang baru,”katanya.

Karl berkata demikian semasa ditemui di acara pertunjukan fesyen Neonate Clothing yang diadakan di Pavillion di ibu kota sempena penganjuran KLFW2021 baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, kata Karl, pemilihan Namron juga baginya sangat bertepatan dengan tema yang diketengahkan oleh Neonate Clothing pada tahun ini yang berani memaparkan sisi kegelapan dalam rekaannya.

“Kalau kita tengok, Namron kebelakangan ini rajin buat parodi dan sebagainya yang seolah-olah menggambarkan hasrat yang dipendam di media sosial. Jujurnya, saya suka dengan apa yang dia buat dan sangat kena dengan tema yang kami tampilkan,”katanya.

Selain itu, Karl juga memuji sikap Namron yang sangat profesional dan berani mencuba selain memberikan komitmen padu walaupun tawaran tersebut bukanlah sesuatu yang dalam kebiasaannya.

“Dia datang ke studio kami untuk melakukan latihan termasuk hadir untuk mengukur baju. Pagi sebelum acara pertunjukkan fesyen berlangsung pun dia ada datang untuk buat latihan lagi.

“Dia memberikan komitmen yang sangat hebat dan terbaik walaupun tak pernah jalan di pentas fesyen. Malah, dia tidak ada pun minta bayaran tinggi atau apa-apa. Saya memang kagum dengan dia.

“Kalau nak tahu, Namron juga merupakan jiran saya. Kediaman kami selang beberapa buah rumah sahaja dalam satu kawasan,”katanya.

Dalam pada itu, Karl, bercerita mengenai koleksi pakaiannya di bawah jenama Neonate Clothing, pelakon ini mendedahkan ia adalah kali pertama dirinya menghasilkan sebanyak 31 rekaan.

“Sebelum ini, paling banyak pun adalah sebanyak 24 pasang. Tahun ini juga menyaksikan sesuatu yang berbeza kerana sebelum ini, Neonate banyak bermain dengan elemen warna terang namun kali ini lebih tertumpu pada rona gelap dan hitam.

“Ia sebenarnya adalah satu terjemahan kepada dimensi kegelapan, masalah kesihatan mental dan sebagainya yang melanda semua antara kita semasa pandemik menyerang dunia. Sebab itulah saya namakan ia Noir,”katanya.

SOURCE : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/11/tak-sangka-namron-sudi-catwalk-untuk-saya-karl-syafek/

 
Kory TungKLFW2021