LATIF ROMLY MODELS AT KLFW! | satuberita.my
ATLET paralimpik kebanggaan negara, Abdul Latif Romly membuat kejutan apabila tampil menjadi model mewakili Neonate Clothing, di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) edisi 2021.
Tampan mengenakan baju berwarna hitam yang tertulis ‘PLASTIC TROPHY’ berwarna hijau lengkap dengan jaket bercorak abstrak, Latif kelihatan tidak kekok memperagakan pakaian dari syarikat fesyen berkenaan.
Mana tidaknya, sosok tubuhnya yang tinggi lampai dan juga raut wajahnya yang tampan sememangnya sesuai untuk acara peragaan fesyen sebegini serta mampu untuk menangkap perhatian sesiapa sahaja ketika berjalan di atas ‘runway’.
Menerusi perkongsian Neonate Clothing di akaun Instagram rasmi, mereka memilih pemenang pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020 itu adalah kerana ingin membuktikan bahawa piala bukanlah satu-satunya perkara yang penting di dalam setiap kejayaan.
“Apa yang penting ialah perjalanan untuk menjadi yang terbaik dan mengekalkan kedudukan biarpun pelbagai cabaran dan halangan mendatang,” katanya.
Menurut mereka yang turut bekerjasama dengan Kamya Glow, corak pada jaket yang diperagakan oleh Latif itu merupakan hasil tangan selebriti, Karl Syafek dan juga Racus Design.
Sementara itu Latif di laman Instagram miliknya menzahirkan rasa gembira dan terima kasih atas peluang yang diberikan oleh NeoNate Clothing kepada dirinya.
“Pentas peragaan saya yang pertama. Terima kasih Neonate dan Kamya Glow untuk peluang ini dan menjadikan saya sebagaian daripada pasukan kamu,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Selain Latif, koleksi 30 rekaan yang diberi nama Noir itu turut dipersembahkan oleh barisan ‘muse’ lain iaitu Namron, Sabronzo (Dolla), Sissy Iman, Yonny Boii, jurusolek Bosco dan Aidil Maula.–SB